PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

12 Januari 2011

Kisah 30 tahun yang lalu

oleh: Mohd Rizlan Dagang

Sebelum era 90-an, suatu fenomena biasa murid-murid sekolah yang lelaki memakai seluar pendek manakala yang perempuan memakai skirt yang dipanggil 'pinafore tunic' berwarna biru tua (navy blue).

Ketika aku memasuki sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Seberang Takir) pada tahun 1980, suasana inilah yang kelihatan. Bayangkan pada masa itu budak-budak lelaki darjah (tahun) lima dan enam yang memakai seluar pendek (termasuk aku sendiri). Budak dulu besar-besar badan mereka. Paling aku tak lupa ialah Anuar (cikgu), anak Ayah Teh Harun. Sudahlah tubuh ‘besor jalor’ – pakai seluar pendek. Sementelah lagi kalau tak pakai seluar yang ‘duk dalam’ tu. Kadang-kadang “terjenguklah” apa-apa yang tak patut.

Berdasarkan carian Pekeliling-Pekeliling Ikhtisas di Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia berkenaan pakaian seragam sekolah, pekeliling pertama yang berkaitan bermula dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1971. Fesyen seragam sekolah yang aku nyatakan di atas adalah berdasarkan pekeliling tersebut.

Dalam pekeliling berikutnya, Surat Pekeliling lkhtisas Bil. 2/1976, beberapa pindaan telah dibuat berikutan masalah pakaian seragam murid-murid perempuan menjadi ketat dan singkat apabila mereka membesar. Antara pindaan yang diarahkan ialah melabuhkan ‘pinafore’ (baju luar) hingga sampai ke lutut serta berkaitan cara jahitan yang menyebut tentang kelim, ikatan pinggang, pesak dan kelepit yang aku sendiri pun tak faham.

Sehingga berakhirnya tahun 1982, walaupun ada beberapa pekeliling tentang pakaian seragam sekolah dikeluarkan oleh pihak kementerian, SELUAR PENDEK dan SKIRT masih menjadi ARAHAN WAJIB di sekolah rendah. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar sekolah menengah sudah dibenarkan memakai seluar panjang bagi yang lelaki dan baju kurung serta bertudung bagi yang perempuan.

Penghujung tahun 1981, aku sedang bersedia untuk memasuki darjah tiga tahun berikutnya. Adikku, Mohd Fakhrul Anwar pula akan memasuki alam persekolahan pada darjah satu. Bersama-sama kami ialah kakakku, Rosmawati (darjah lima).

Ada suatu peristiwa menarik dan bersejarah sebenarnya yang melibatkan kami tiga beradik. Abang sulung kami, Zakaria telah membuat keputusan nekad; “memaksa” kami memakai seluar panjang (bagi yang lelaki) dan baju kurung berserta tudung (bagi yang perempuan). Turut sama menyertai kami ialah anak-anak Pak Usop (bapa saudara) iaitu Allahyarham Zanariah (Kak Yah) dan Hidayati. Walau berat hati kami menjadi perintis memakai “fesyen baharu” di sekolah tersebut, namun atas desakan dan rasa hormat kepada Abang, kami akur.

Pada hari pertama persekolahan, kami berlima terus menjadi perhatian (aku, Anwar, Kak Ros, arwah Kak Yah dan Hidayati). Semua memandang kami dengan memek muka pelik dan ada yang mempamerkan muka jelek termasuk guru-guru. Semua guru yang masuk ke kelasku bertanyakan kenapa aku berseluar panjang. Mereka bertanya dengan nada pelik dan sinis. Sehinggakan ada yang bertanya, “Kaki awak ada kudis ke?” Tiada jawapan yang aku boleh berikan kecuali berkata, “Abang suruh.” Sekali sekala rasanya aku pernah berkata, “Haram pakai seluar pendek.” Aku tak pasti apa yang berlaku kepada empat orang lagi adik-beradik dan sepupu-sepupuku. Kesian, adikku Anwar dengan umurnya yang terlalu muda terpaksa menghadapi mungkin sama dengan apa yang aku lalui. Entah apa yang dijawabnya bila ditanya. Sudahlah badannya adalah yang paling kecil pada masa tersebut.

Antara ramai-ramai guru yang masuk ke kelasku, hanya seorang yang memuji aku kerana memakai seluar panjang – guru Matematikku, Cikgu Hashimah Ismail. Beliau kenal akan aku. Beliau ada hubungan rapat dengan Abang dalam jemaah ABIM. Beliau sendiri sudah bertudung labuh ketika itu. “Bagus Rizlan awak pakai seluar panjang,” kata Cikgu Hashimah.

Pakaian kami seolah-olah menjadi kegemparan dan isu besar di sekolah. Abang kelihatan beberapa kali datang ke sekolah berjumpa dengan guru besar. Abang mungkin terpaksa memanjat tangga Jabatan Pelajaran masa itu untuk menyelesaikan masalah kami; maklumlah kami telah “melanggar” peraturan sekolah yang diguna pakai di seluruh negara. Aku tidak berapa memahaminya waktu itu – maklumlah baharu berumur sembilan tahun.

Selepas beberapa bulan, aku lihat ada beberapa orang murid yang meniru fesyen pakaian kami. Wah, aku sudah ada “kawan”! Ini bermakna, kami berlima telah menempa sejarah dengan merintis pakaian yang bertepatan dengan syariah di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir (SKST). Kalaulah SKST merupakan sekolah pertama di negeri Terengganu yang muridnya memakai pakaian tersebut, maka kami adalah yang pertama di Terengganu. Jika Terengganu memulakannya, maka kami adalah yang pertama di Malaysia. Kalau benarlah ini keadaannya, maka berbanggalah kita anak, cucu, cicit, cuit Dagang atas fenomena yang kita cetuskan ini. Takbir...... ALLAHUAKBAR!!!

Menariknya, pada tahun berikutnya (1983), pekeliling baharu (pindaan) tentang seragam sekolah iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983 (bertarikh 9 Mac) 1983 telah dikeluarkan yang antara lain menyebut;

Tujuan surat pekeliling ini ialah untuk mengemaskinikan lagi semua arahan yang berhubung dengan pakaian seragam murid-murid sekolah.

2. Peraturan pakaian seragam murid-murid sekolah adalah seperti berikut:

2.1 Sekolah Rendah

2.1.1 Pakaian Murid-murid Lelaki

Seluar
i. Seluar bagi murid-murid lelaki ialah seluar pendek berwarna biru tua (navy blue). SELUAR PANJANG yang sama warnanya boleh dipakai sekiranya dikehendaki oleh ibu bapa/penjaga mereka.

Baju
Baju adalah berwarna putih dan berlengan pendek.

2.1.2 Pakaian Murid-murid Perempuan
Pakaian murid-murid perempuan adalah 'pinafore tunic' berwarna biru tua (navy blue) dan labuhnya hendaklah sampai ke lutut.

Baju Kurung dan Kain Sarung
Murid-murid perempuan boleh juga memakai BAJU KURUNG sekiranya dikehendaki oleh ibu bapa / penjaga mereka dengan syarat baju kurung itu berwarna putih dan kain sarung berwarna biru tua.

Tudung / Mini Telekung
Murid-murid perempuan juga dibenarkan memakai TUDUNG / mini telekung, dengan syarat tudung itu berbentuk tiga segi 2 sama dan tudung / mini telekung berwarna putih, berukuran sesuai dengan murid¬-murid yang memakainya.

Ini bermakna fesyen yang kami mulakan telah diterima oleh kerajaan. Alhamdulillah. Terima kasih dan tahniah Abang. Kamu memang idola kami. Walaupun Abang sangat-sangat muda waktu itu – baharu berumur 22 tahun, namun Abang ada kekuatan dan keberanian yang tinggi. Kalaulah aku seusia itu waktu itu, belum tentu aku sanggup melakukan apa yang telah Abang lakukan.

Walau bagaimanapun fesyen pakaian yang kami pakai itu hanyalah PILIHAN, bukan wajib. Berlaku salah faham oleh segelintir pihak pentadbiran sekolah yang mewajibkan murid-murid mereka berbaju kurung serta bertudung. Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan surat pekeliling baharu. Namun, ia agak lama iaitu sepuluh tahun selepas itu, iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1992 (bertarikh 14 Mac 1992) yang antaranya menyebut;

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk menegaskan dasar dan peraturan Kementerian Pendidikan MELARANG mana-mana pihak mengenakan sebarang paksaan atau tekanan ke atas pelajar-pelajar perempuan supaya memakai tudung atau mini telekung di sekolah.

2. Unsur tekanan atau paksaan adalah dilarang sama sakali walaupun pemakaian tudung dan mini telekung dibenarkan di bawah peraturan Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah. Rujuk Surat Pekeliling Ikhlisas Bil. 3/1983.

3. Sila pastikan bahawa sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat di sekolah tidak menyalahi mana-mana peraturan atau dasar Kementerian Pendidikan.

Maafkan Din, Abang dan adik-beradik yang lain kalau catatan berdasarkan sudut pandang Din di atas tidak tepat dan betul. Tolong betulkan kalau ia salah dan tambahkan kalau ada lagi maklumat atau fakta yang Din tidak tulis. Sekian.

Tiada ulasan: