PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

17 Januari 2011

Sejarah baru PAS dalam PRK

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah mencipta satu sejarah baru dalam landskap politik di negara ini apabila meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil (PRK).

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Normala Sudirman diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam tadi.

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Calon wanita bukan suatu yang asing bagi PAS. Sejak pilihan raya umum pertama (1959), PAS telah meletakkan calon wanita untuk bertanding dan memenanginya. Contohnya, Ahli Parlimen Dungun Terengganu (1959 - 1964) ialah Khatijah Sidek yang merupakan muslimat PAS yang pertama bertanding dalam pilihan raya dan dipilih sebagai wakil rakyat.

Begitu juga dengan siri-siri pilihan raya selepas itu, sehinggalah pilihan raya umum terakhir (2008), PAS telah mengemukakan calon wanita yang paling ramai dan sebahagian mereka memenangi kerusi yang dipertandingkan. Maka kelihatanlah di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, seperti Kelantan, Kedah dan Selangor, pemimpin Muslimat PAS diangkat sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

Bagi siri-siri PRK pula, inilah kali pertama PAS menampilkan calon dari kalangan muslimat. Kebetulan pula ia berlaku di negeri Johor, sebuah negeri yang sebelum ini dianggap kubu terkuat Umno.

Persoalannya, kenapa kepimpinan tertinggi PAS telah mengambil persetujuan untuk mencalonkan seorang wanita dalam PRK kali ini? Adakah PAS optimis dengan pendekatan terbaru ini akan membawa tuah kepada parti itu?

Ada yang menyebut bahawa keputusan PAS meletak calon wanita di Tenang dilihat sebagai satu langkah untuk mensasarkan sokongan pengundi Cina yang merupakan 39 peratus pemilih berdaftar di Tenang.

Pemilihan Normala juga akan membantu mengikis persepsi di kalangan bukan Islam yang melihat PAS sebagai sebuah parti Islam konservatif yang mendiskriminasikan kaum wanita - yang sering digunakan oleh MCA dalam kempen mereka.

Dari sudut lain, pemilihan Normala dilihat sangat sesuai dengan peranan yang telah dimainkan oleh beliau sebelum ini di Dun Tenang. Beliau telah dilantik sebagai Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang. Beberapa aktiviti turun padang telah beliau atur dan sudah tentu beliau sangat dekat dengan pengundi di kawasan itu. Perkara ini berlaku bukan selepas kematian ADUN kawasan itu, tetapi sejak beberapa bulan yang lalu. Sila rujuk di SINI.

Kita menaruh penuh keyakinan dengan kemampuan yang ada pada Cikgu Normala untuk memikul amanah yang diberikan ini. Dari segi kepimpinan, selain sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Labis, beliau adalah Exco Dewan Muslimat PAS Pusat iaitu sebagai Pengerusi Lajnah Pendidikan.

Dengan semangat tinggi dan sokongan dari keluarga, insya' Allah, beliau mampu membawa cabaran baru bagi PAS dalam PRK ini. Mungkinkah ini satu petanda bahawa PAS akan mencipta pula sejarah baru, Muslimat PAS pertama memenangi PRK?

Tiada ulasan: