PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

26 Mei 2011

Peristiwa 30 tahun lalu


Semalam 25 Mei adalah satu tarikh yang sangat bersejarah bagi PAS terutama di DUN Seberang Takir ini. Pada tarikh itu 30 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1981 telah berlaku satu peristiwa penting dalam kalendar perjuangan Islam.

Peristiwa tersebut ialah penangkapan beramai-ramai pemimpin dan pengikut PAS dalam satu majlis Ceramah Isra' dan Mi'raj di Surau Mat Jaafar, Seberang Takir. Penangkapan itu melibatkan pemimpin utama PAS ketika itu termasuk Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Haji Mustafa Ali, Haji Wan Abd Muttalib Embong dan beberapa orang lagi.

Kesemuannya berjumlah 11 orang. Dua orang daripadanya, iaitu Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor dan seorang ahli PAS, Muda Mamat sudah meninggal dunia.

Peristiwa ini dianggap sebagai suatu peristiwa penting bagi PAS Terengganu sendiri dalam era kebangkitan baru selepas kalah teruk (tidak menang satu kerusi pun) dalam Pilihan Raya Umum 1978 iaitu pilihan raya pertama selepas PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional.

Pada tahun itu juga, sebelum peristiwa di Seberang Takir telah berlaku gangguan polis pada ceramah PAS di Bukit Keluang, Besut sehingga membawa kepada tembakan gas pemedih mata. Selepas itu berlaku juga peristiwa di Kg Buluh, Setiu yang mencetuskan satu provokasi yang besar.

Ceramah-ceramah PAS ketika itu cukup 'panas'. Ahli-ahli dan penyokong PAS sangat bersemangat untuk hadir ke tempat-tempat ceramah yang diganggu oleh pihak keselamatan ini.

Berbalik kepada peristiwa penangkapan di Seberang Takir itu, pada pagi keesokannya, Balai Polis Kuala Terengganu dipenuhi para penyokong PAS yang mendesak supaya pemimpin mereka dibebaskan segera. Pada malam itu mangsa yang ditangkap tidak dimasukkan ke dalam lokap, tetapi ditempatkan di surau di balai polis itu. Mungkin kerana menghormati kedudukan pemimpin utama itu.

Pagar balai polis pada 26 Mei 1981 hampir runtuh diasak oleh ribuan para penyokong PAS. Akhirnya setelah selesai proses berkaitan, mangsa yang ditangkap itu dibebaskan.

Sementara itu, pada petang hari sebelum berlangsungnya ceramah di Surau Mat Jaafar itu, di sekitar kawasan Kg Seberang Takir telah dipenuhi oleh anggota polis. Segenap jalan masuk menuju ke surau itu telah siap anggota polis berkawal dan melakukan sekatan jalan.

Pada masa ceramah sedang berlangsung malam itu, pihak FRU telah gagal melepaskan gas pemedih mata walaupun mereka telah berusaha untuk melakukannya. Polis dengan rakusnya naik di atas surau tanpa menghormati langsung kesucian tempat ibadat umat Islam itu dengan tidak membuka kasut. Peralatan siaraya yang digunakan di surau itu telah dirampas dan tidak pernah dikembalikan sampai sekarang.

Semua peristiwa itu terakam jelas di hadapan mata saya yang ketika itu terlalu muda dan sangat baru dalam sepak terajang politik. Saya turut berada di dalam surau itu bersama para pemimpin dan ahli-ahli yang lain.

Rupa-rupanya peristiwa itu telah membawa kesan yang sangat besar dalam jiwa pendokong PAS ketika itu. Ia terus membakar semangat mereka untuk terus berjuang meletakkan Islam di persadanya.

Selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum 1978, PAS Terengganu bangkit dalam pilihan raya umum 1982 apabila berjaya memenangi lima kerusi DUN. Mereka ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Marang), Haji Mustafa Ali (Wakaf Mempelam), Ustaz Haji Harun Taib (Manir), Haji Wan Abd Muttalib Embong (Batu Buruk) dan Ustaz Haji Abu Bakar Chik (Jeram). Mereka turut digelar sebagai 'buku lima' atau sebelah penumbuk. Mereka telah berjaya memainkan peranan besar dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ketika itu Menteri Besarnya ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Peristiwa itu juga dilihat sebagai suatu permulaan untuk bangkit dan membina kekuatan baru di negeri ini. Semoga anak-anak muda yang lahir selepas itu juga boleh mengambil iktibar yang besar dari peristiwa itu. Semoga selepas 30 tahun peristiwa itu berlaku di Seberang Takir ini, ia memberi kesan dan natijah yang besar kepada PAS di DUN ini, insya' Allah.

4 ulasan:

abu muaz berkata...

T.kasih kerana mengingatkan kembali peristiwa ini... tak lupa antara yang ditahan malam itu ialah cikgu Man Ismail...kalau ada gambar lagi menarik tuan.

ikan bilis berkata...

Pada 25 Mei tersebut memang saya tidak boleh lupakan dalam lipatan sejarah hidup saya kerana saya juga ada bersama dalam majlis ceramah tersebut.Kami dikepong dan dihalau seperti anjing kurap.Rasa benci kepada UMNO dan BN meluap-luap dalam dada.Apa yang kami boleh buat pada masa itu kerana kami masih lagi bergelar budak sekolah.Bergantang-gantang sumpah seranah kepada UMNO.Itu saja yang terkeluar dari mulut.

Tulang Besi berkata...

muda mamat ni bukan wakil rakyat UMNO ke?

Ibni Gharib berkata...

Bukan, beliau ialah AJK PAS Cawangan Seberang Takir.