PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

10 Ogos 2011

Selesai segera isu serbuan gereja

KUALA TERENGGANU – Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang berharap Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) dapat menyelesaikan isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya secepat mungkin.

Beliau khuatir perkara itu dimanipulasikan pihak tertentu dan mengaitkannya dengan isu politik apabila dua kenyataan dalam nada berbeza dibuat terhadap jabatan tersebut antara pemimpin PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin PAS yang juga Exco Kerajaan Selangor bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali.

Zakaria berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan cara baik dan turut bersetuju dengan arahan Khalid supaya tiada kenyataan lain dibuat berhubung serbuan itu lagi bagi mengelak timbul lebih banyak kekeruhan.

“Kita minta perkara itu disiasat betul-betul dan selesaikan dengan cara baik kerana bimbang pihak lain akan cetuskan keadaan yang teruk yang boleh mendatangkan bahaya.

“Bagi kita, Jais mungkin bertindak melalui maklumat diterima dan tidak perlu kenyataan dibuat mana-mana pihak kerana ia akan menimbulkan lebih banyak spekulasi atau lebih parah boleh mendatangkan sensitiviti agama dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata, Jais melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Berbeza pula dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim apabila beliau telah menghubungi seorang paderi kanan di gereja berkenaan, Pastor Daniel Ho bagi menyatakan kekesalan pihak Kerajaan Negeri berhubung insiden itu.

Susulan kenyataan Dr Hasan, Khalid mengeluarkan larangan kepada semua anggota Exco negeri itu supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung serbuan oleh Jais ke atas gereja terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: