PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

04 Januari 2012

Mana Memorial Hudud yang dijanjikan ADUN Seb Takir?

[Gambar - Kawasan 'Tebing Tinggi' di Kampung Seberang Takir di mana menurut sejarahnya adalah tempat 'takir tangan' (potonng tangan) menurut Undang-Undang Islam Itqan al-Muluk Bi Ta'Dil al-Suluk yang dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Kini menjadi taman rekreasi di mana asalnya mungkin tapak Memorial Hudud yang dijanjikan]


KUALA NERUS - Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Undang-Undang Itqan al-Muluk Bi Ta’Dil al-Suluk, PAS DUN Seberang Takir mempersoalkan, di manakah Memorial Hudud yang pernah dijanjikan oleh Kerajaan Umno dan Barisan Nasional?

Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman pernah menyebut bahawa kerajaan merancang untuk membina Galeri Hudud di Kampung Seberang Takir.

Beliau yang dihubungi Buletinonline berkata, pertanyaan tersebut sudah acap kali diajukan kepada Ahmad Razif terutamanya, dalam majlis dan ceramah penerangan PAS.

Namun, katanya, Razif tidak pernah menjawab, sama ada kerajaan akan meneruskan atau sebaliknya, rancangan membina kawasan bagi memperingati sejarah perlaksanaan undang-undang hudud pada zaman Sultan Zainal Abidin III.

“Dia (Razif) nak buat monumen atau tanda bahawa Seberang Takir sebagai satu tempat perlaksanaan hukum hudud.

“Nak buat (memorial) sebab asal nama Seberang Takir ini adalah 'seberang tempat orang takir tangan', tempat orang potong tangan (dalam) perlaksanaan hukum hudud pada zaman Sultan Zainal Abidin III dulu,” ujar Ustaz Zakaria dalam ceramahnya yang dirakam Buletinonline di Kampung Duyung pada 13 Disember lalu.

Menurut beliau, Kampung Seberang Takir tercatat dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam di negeri ini, iaitu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918).

Katanya, asal nama Seberang Takir ialah apabila sultan memerintah pesalah kes kecurian dipotong (takir dalam istilah/loghat Terengganu) tangannya di seberang. Akhirnya timbullah nama Seberang Takir yang bermaksud seberang tempat takir (potong) tangan pencuri.

Ustaz Zakaria yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, PAS menyokong pembinaan memorial itu walaupun tujuan Razif mahu membina memorial tersebut adalah untuk tarikan pelancong.

Tetapi, katanya, mungkin kerajaan Umno/BN tidak akan membina memorial tesebut kerana dasar Umno/BN yang tidak menyokong perlaksanaan hukum Islam itu.

“Tapi, saya rasa dia (Umno/BN) tak buat doh, pasal kalau dia buat pun akan memakan dirinya, (kerana) dia duk marah ke Hudud, marah ke hukum Islam, tib-tiba dia nak buat (Menorial Hudud)…memang dia tak akan buat,”jelasnya.

Sumber: Buletinonline.

Tiada ulasan: