PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

07 Oktober 2011

Selamat Hari Lahir, Baiyyinah!



Tanggal 7 Oktober 2005, tepat jam 3.09 petang, hari ketiga umat Islam menjalani ibadat puasa Ramadhan, di Dewan Bersalin Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kami dilimpahkan kegembiraan dengan kelahiran anak kesembilan.

Dia menjadi anak kami yang satu-satunya dilahirkan di hospital setelah tujuh abang dan kakaknya lahir di rumah neneknya serta seorang kakaknya lahir di Klinik Kesihatan Seberang Takir.

Rupanya dia menjadi anak bongsu dalam keluarga ini sekaligus menjadi pelengkap kepada keluarga kami.

Hari ini umurnya genap enam tahun, yang merupakan tahun persediaan untuk beliau menapak ke sekolah rendah apabila masuk umurnya tujuh tahun nanti. Sudah dua tahun beliau berada di prasekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Banyak keistimewaan yang ada pada anak bongsu kami ini. Dia disenangi oleh ramai orang dengan sikap 'over' peramahnya. Di mana sahaja keberadaannya, pasti mencuri perhatian orang. Siapa sahaja yang ditemuinya pasti disapa, tanpa rasa segan dan malu.

Kalau melawat hospital, beliau akan pergi ke katil-katil pesakit dan bertanya dengan pelbagai soalan mengenai pesakit berkenaan. Masuk ke bank, habis disinggahnya ke kaunter dan menyapa pekerja di situ, hingga sampai masuk ke bilik pengurus.

Oleh kerana beliau seorang kanak-kanak, tidak ada orang yang memarahinya. Lagipun tidak ada tindakan yang melampau yang dilakukannya. Bahkan beliau dipuji oleh orang-orang yang 'ditemuinya' mungkin kerana keberanian dan kepetahannya.

Setiap hari bekerja, beliau akan berada di pejabatku setelah pulang dari sekolah. Beliau disenangi oleh semua petugas di pejabat, bahkan juga pengunjung-pengunjung yang datang sekali sekala. Boleh dikatakan semua mengenalinya. Bahkan juga beliau mengenali pemimpin-pemimpin PAS, terutama dari negeri ini.

Itulah Nur Rahmah Baiyyinah. Semoga beliau lebih matang pada usianya hari ini, insya' Allah. Catatan lain yang berkaitan dengan Baiyyinah boleh dilihat di sini dan di sini.

Tiada ulasan: